
1 – Nuh dan umurnya.
Nabi Nuh berdakwah 950 tahun. Persoalan utamanya adalah, mengapa dia sanggup bersusah payah selama 950 tahun untuk mengajak manusia ke jalan Allah SWT? Mengapa tidak dia berputus asa?
Kerana, Nabi Nuh adalah manusia yang beriman, yang percaya akan hari akhirat. Kita semua memahami bahawa akhirat itu ‘kholidiina fiiha’, kekal selama-lamanya. Maka, sekiranya kita ukur ‘selama-lamanya’ dengan ’950 tahun’, nyata 950 tahun itu seakan-akan tiada makna.
Justeru, bagi yang beriman dengan hari akhirat, kita takkan rasa gundah dengan kesusahan urusan kita dalam menegakkan amanah Allah di atas muka bumi ini. Kerana akhirat nanti, segala pengorbanan kita akan terasa berharga.
2 – Dakwah dan Masa.
Nabi Nuh mengambil masa 950 tahun berdakwah, barulah dia mendoakan agar Allah memberikan azab kepada kaumnya. Dia mengambil ‘satu jangka masa yang panjang’ sebelum membuat keputusan yang kaumnya memang tiada harapan lagi.
Begitulah sepatutnya kita, di dalam dakwah jangan tergesa-gesa menjatuhkan hukuman. Kena belajar untuk ambil ‘satu jangka masa yang panjang’ dalam usaha mengajak manusia ke jalan Allah SWT. Bukannya baru sebulan-dua, setahun-dua, sudah cop fulan bin fulan sudah tiada harapan.
Dan lumrahnya dalam menyeru manusia, memang memerlukan masa. Kerana manusia bukan plastisin. Ketuk terus berubah. Manusia ibarat tanah liat untuk dibuat tembikar. Perlu dibentuk perlahan-lahan.
3 – Taat kepada Arahan Tuhan Walaupun Berat.
Nuh bukanlah si pembuat kapal. Tetapi apabila Allah arahkan Nuh membina kapal, Nuh melaksanakannya dengan taat.
Bahtera itu pula dibina di atas padang pasir, kala tidak ada petanda hujan akan turun pun. Tetapi dia taat kepada Tuhannya, lantas dilaksanakan arahan itu tanpa banyak cerita. Kerana dia yakin, jika dia taat kepada Allah, pengakhiran untuknya hanya yang baik-baik sahaja.
Kita bagaimana?
Solat di rumah sendiri pun belum tentu kita laksanakan dengan baik.
4 – Keluarga Yang Sebenar Adalah Yang Dihubungkan Dengan Aqidah.
Selepas banjir berlangsung, Nuh merasa sedih dengan anaknya yang tidak terselamat. Lantas Nuh berdoa agar Allah menyelamatkan anaknya, dia berkata bahawa anaknya itu adalah ahli keluarganya. Tetapi Allah SWT menyatakan bahawa anaknya bukan dari ahli keluarganya, kerana anaknya tidak beriman.
Di sini bukanlah bermaksud bahawa kita jangan respect keluarga kita yang tidak beriman(jika ada). Namun jika keluarga kita yang tidak beriman itu meminta atau melakukan sesuatu yang bercanggahan dengan keimanan kita, nyatanya ketika itu kita perlu mengutamakan keimanan kita kepada Allah SWT.
5 – Seruan ‘Ya Bunayya, Irkam ma’ana’
Walaupun 950 tahun dakwahnya tidak diterima, bahkan Nuh dicaci dan dikeji sepanjang dakwahnya, Nuh yang melihat anaknya sedang terkapai-kapai kelemasan telah memanggil anaknya dengan panggilan yang baik – “Ya Bunayya, Irkam ma’ana, wa la takum ma’al kaafiriin.” Surah Hud ayat 42. Bermaksud: Wahai anakku, naiklah bersama kami(ke atas bahtera), dan janganlah engkau bersama orang-orang yang kaafir.
Dia masih memanggil dengan panggilan yang baik. “Wahai anakku.”
Dia masih mengajak untuk naik ke bahtera. “Irkam ma’ana”
Dia masih lagi memberikan peringatan. “Dan janganlah bersama-sama dengan orang yang kafir.”
Sedangkan dakwahnya sudah ditolak selama 950 tahun, dicaci, dimaki, dikeji dan sebagainya. Pada hari itu sepatutnya adalah hari dia berbangga, hari dia rasa dialah pemenangnya. Hari dia berpuas hati kala orang yang membencinya diazab Allah SWT. Tetapi Nuh berjiwa da’ie, dan da’ie(penyeru) tidak berakhlak sedemikian. Lantas selagi masih ada peluang, dia menyeru, mengajak dengan baik. Dia tidak pula berkata: “Padan muka, hari itu aku dah cakap korang tak nak dengar!”
Penutup: Kita belajar daripada Nuh.
Kekuatan Nuh hakikatnya berlandaskan kekuatan iman. Dia beriman kepada Allah dan hari akhirat, itulah yang menjana keistiqomahan Nuh dan ketaatannya.
Dari situlah juga Nuh yang merasai kemanisan iman, merasakan betapa ruginya orang-orang yang tidak merasai kemanisan itu. Lantas, berbanding rasa suka melihat orang diazab, dia bahkan merasa kasihan dan masih berusaha memberikan ajakan demi ajakan walau di saat-saat akhir.
Semoga kita belajar menjadi da’ie dan hamba Allah SWT yang baik, daripada Nuh AS..
OK bye......
Semoga kita belajar menjadi da’ie dan hamba Allah SWT yang baik, daripada Nuh AS..
OK bye......

No comments:
Post a Comment